ChatBox

Wednesday, April 21, 2010

Hanya kawan!

Hanya kawan!
Oleh Zaidi Mohamad 
zaidim@bharian.com.my
2010/04/21

sebelum - selepas


Dira nafi Zahiril, aktor yang sedang mengukir nama dalam bidang lakonan punca perceraiannya dengan Ash, pada 8 April lalu

LUMRAH dalam perkahwinan yang berakhir dengan perceraian, selain disabitkan dengan kurang persefahaman atau tiada jodoh, faktor orang ketiga juga sering dijadikan punca. Perkara yang sama juga terjadi dalam rumah tangga finalis Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, Dira Abu Zahar, 26, dengan suaminya, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid atau Ash.

Perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan lagi dan disahkan bercerai pada 8 April lalu di Mahkamah Syariah, Kajang. Dalam kemelut itu, nama Pelakon Lelaki Harapan Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22, Zahiril Adzim turut sama terpalik kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan Dira. Malah sebelum Dira, Zahiril pernah juga dikaitkan dengan Natasha Liana Hudson selepas pelakon dan model itu menjanda. Sebagai membuktikan apa yang diperkatakan orang itu sebagai gosip, Hip undang Dira dan Zahiril bersatu dalam persalinan Anizam Yusof yang baru saja memenangi kategori Pakaian Terbaik Selebriti Wanita di ABPBH 2009 lalu. Ternyata pelawaan itu disambut baik. Mereka begitu selamba dan profesional walaupun ada ketikanya gerak tubuh bagaikan berkata barangkali ada sesuatu dalam hubungan itu.

Andai ditanya, sejauh mana hubungan mereka, jawapan yang terpacul daripada mulut masing-masing ialah ‘rapat gila’. Persamaan kedua-duanya yang dilabel sebagai kaki melatah ternyata mewarnai sesi fotografi ini apabila mereka sering mengusik sesama sendiri. Mereka sedar ada yang mengandaikan rona cinta semakin mekar tetapi yang jelas hubungan mereka tidak lebih daripada rakan seperjuangan yang sentiasa menyokong.

Hingga pada saat akhir Dira memerlukan teman kala menghadiri ABPBH 2009, Zahiril yang kebetulan tidak terikat dengan sebarang komitmen kerja sudi menemaninya atas dasar memberi sokongan moral. Malah kerana hal itu juga kononnya wujud cerita bahawa Ash sudah naik berang dan mahu bersemuka dengan Zahiril di Genting Highlands. Secara kebetulan Ash juga terbabit membuat persembahan malam itu bersama Azlan & The Typewriter. 

“Saya sudah terangkan kepada dia (Ash) mengenai hal sebenar antara saya dengan Zahiril. Tapi jika dia memikirkan yang sebaliknya, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya tiada kuasa dan tidak mempunyai hak untuk mengawal pemikirannya sekalipun saya pernah sehidup dengannya sebagai suami isteri sebelum ini,” ungkap Dira di awal bicara mengenai emosi bekas suaminya itu. 

Menurut Dira, sebagai manusia biasa, dia tidak menjangka atau jauh sekali merancang perpisahan antaranya dengan bekas suami. Malah kenangan sewaktu berada di bilik mahkamah ketika kes perceraian dibicarakan masih terbayang apabila talak yang sudah lama jatuh itu disahkan akhirnya. Cuma kini yang perlu diutamakan ialah keperluan anak, Tengku Anggun Deandra yang menjadi bukti kepada usia tiga tahun perkahwinan mereka pernah termeterai. 

“Anak di bawah jagaan saya, tetapi dia (Ash) tidak perlu mempersoalkan atau bertanyakan haknya sebagai bapa. Saya tidak akan menyekat haknya bertemu anak kami pada bila-bila masa yang perlu. Malah setiap kali keluar rumah mencari rezeki, saya perlu terus kuat semangat meneruskan hidup demi survival diri dan anak. Anak juga nyawa saya. 

“Kalau nak ikutkan perasaan hati yang berkecamuk, boleh jadi kacau bilau juga rasanya. Cuma bila saya sibukkan diri dengan kerja dan alhamdulillah sedikit sebanyak masalah itu dilupakan sementara waktu. Mujur juga ada kawan yang memberikan sokongan moral sekali gus dapat menghilangkan tekanan,” katanya sambil memberitahu dia menerima dengan hati terbuka andai jodoh dengan Ash bertaut kembali. 

Mereka mula rapat ketika sama-sama terbabit dalam drama Merah Putih di TV3. Selepas itu mereka digandingkan lagi dalam telefilem Seratus Hari Jadi. Seterusnya, Zahiril mempelawa Dira berlakon teater termasuk teater Tanda. Mereka berdua masing-masing mengambil berat dan tahu. 

“Kasihan juga dia yang dituduh sebagai punca perceraian saya. Andai suatu hari nanti saya ditakdirkan bersatu dengan Ash lagi, saya tetap tidak akan mengabaikan kawan termasuk Zahiril. Tiada terma atau istilah saya akan melupakan kawan. Saya dan Zahiril berkongsi pandangan yang sama termasuklah hal berkaitan peribadi. 

“Saya senang hati berkawan dengannya. Dia tidak menyusahkan dan memeningkan kepala. Sebagai kawan, perasaan sayang itu tidak lebih daripada persahabatan. 

Mungkin kerana usia yang dekat, kami senang bercerita. Malah saya sering menasihati dia mengenai wanita pilihannya. Dengan apa yang terjadi, saya juga tidak pantas mencari pengganti dalam masa terdekat. Lagi pun siapa nak dekat saya?” katanya yang masih sibuk di lokasi penggambaran drama epik fantasi Arjuna arahan Helmi Halim di TV3 dan drama epik Akinabalu untuk slot Suatu Ketika, Astro Citra.

Bukan Dira di hati Zahiril

SEMENTARA itu, Zahiril pula berkata, dia kini sedang mengenali hati seseorang. Bagaimanapun, wanita yang dimaksudkannya bukan Dira sebaliknya hanya gadis biasa yang tidak langsung terbabit dalam dunia seni. Jadi pengakuan Zahiril secara jelas menidakkan gosip dengan Dira. 

“Lalu, kalau ada yang masih beranggapan saya menjadi punca kepada keretakan rumah tangga Dira dan Ash, saya minta tunjukkan bukti. Tiada apa yang nak disembunyikan dan kami memang rapat hanya sebagai kawan. Cuma saya sedar menjadi figura awam ini, pasti ada mulut yang terus bersuara. Saya pun tahu memang ada yang mengatakan kami bercinta. 

“Hakikatnya orang di luar sana hanya menjatuhkan hukum dan tidak tahu situasi sebenar yang terjadi. Saya dengan Dira serasi dalam soal kerja. Akrab kami hingga masing-masing begitu lancang bercakap dan ‘memaki hamun’ sesama sendiri untuk menegakkan pendirian. Sebelum ini ketika kecoh rumah tangganya berantakan, saya tahu tapi malas nak ambil pot lebih-lebih. 

“Yang jelas, dia mempunyai bakat besar dalam seni. Maka sebab itu, saya tarik dia menyertai teater di bawah bumbung Rumah Anak Teater. Saya perkenalkan dia kepada Namron. Dia jenis pelakon komersial tetapi boleh terbabit dalam kerja indie yang berbajet rendah ini,” katanya yang tengah bercuti seketika daripada terikat dengan komitmen seni.

Mengenai Ash, Zahiril memberitahu sebelum ini dia tidak mempunyai masalah dengannya. Cuma sekarang dengan apa yang terjadi, Zahiril seperti mangsa keadaan yang berdepan dengan situasi yang dilihat merumitkan. Kata Zahiril, mungkin Ash yang ada masalah dengannya. 

“Saya memahami situasi Ash yang patah hati. Jadi saya tidak mahu bersemuka dengannya kerana bimbang akan terjadi tindakan di luar kawalan. Saya okey dengannya tapi kalau sebaliknya saya tak pasti pula,” katanya ringkas. 

Dalam perkembangan lain, Zahiril akan terbabit dengan penggambaran filem ketiganya, Tolong Awekku Pontianak arahan James Lee bulan depan. Filem itu dilakonkannya selepas Kami The Movie dan Karaoke. Kerana filem itu juga, difahamkan dia kecewa kerana terpaksa menolak tawaran sebuah drama akibat pertembungan tarikh gara-gara ditunda penggambarannya. 

“Alhamdulillah, rezeki saya berlakon masih ada. Ada kerja yang saya lakukan sebab mahu mencari duit demi menampung kehidupan tetapi ada juga tawaran yang saya terima demi keghairahan dalam dunia seni iaitu dengan memilih karakter yang besar dan benar-benar menguji. 

“Insya-Allah dalam masa yang sama, saya juga dalam perbincangan dengan syarikat penerbitan, Oxygen Media untuk menulis buku antologi puisi pada tahun ini. Puisi itu ditulis saya dan akan dikumpulkan. Ada puisi yang dimaksudkan saya sudah masukkan di dalam blog dan ada juga yang berada di dalam simpanan,” katanya sambil berharap gosip ini tidak akan dikeruhkan lagi.

Courtesy to Berita Harian

No comments:

Post a Comment