ChatBox

Thursday, December 17, 2009

Bukan Pura-Pura


Bukan pura-pura

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my




Sazzy Falak dan Dira nafi hubungan mereka tegang gara-gara tidak puas hati dengan program Sehati Berdansa

MELIHAT gelagat dan keletah mereka yang cukup mesra dalam sesi fotografi, ia seperti menidakkan kontroversi melanda peserta Sehati Berdansa musim ketiga, Sazzy Falak, 28, dan Dira Abu Zahar, 25, yang dikatakan kononnya bermasam muka gara-gara jumlah undian antara mereka dalam program itu.

Ketika Dira sedang asyik disolek, Sazzy pula khusyuk menikmati nasi bungkus sebagai sajian tengah hari. Malah, Sazzy juga begitu bermurah hati membungkus makanan untuk bekalan Dira. Ketika itu, masing-masing juga rancak berbicara dalam pelbagai perkara, tidak terbatas kepada program yang mereka sertai itu.

Kata Sazzy, tak baik berprasangka buruk sedangkan mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain. Dira kemudian mencelah bahawa hubungan baiknya dengan Sazzy bukan lakonan atau sengaja dibuat-buat.

Cerita mengenai hubungan mereka tegang berpunca apabila ada desas-desus mengatakan Sazzy dan Dira masing-masing berlawan menulis luahan hati di laman maya akibat rasa tidak puas hati dengan undian SMS yang diterima. Ia bermula apabila Dira dikatakan mendapat undian tertinggi kerana ia dilakukan oleh anggota keluarganya sendiri yang dikatakan orang berada.

Sedikit sebanyak kisah ini secara tidak langsung menaikkan populariti program terbitan Astro Ria itu. Seperti musim terdahulu, memang elemen kontroversi bukan asing lagi menghangatkan program itu. Gandingan sulung mereka kali ini juga bukan berkisar kepada kisah panas yang terus diperkatakan itu.

Sangkakan mereka dan suami masing-masing bakal merebut gelaran juara Sehati Berdansa musim ketiga yang bakal berlangsung pada 26 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), tapi Dira dan suaminya Ash terpaksa akur apabila tersingkir pada minggu tema broadway.

Bagi Sazzy yang pernah diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19, apa yang berlaku antara dia dan Dira dalam program itu bukan sesuatu yang dirancang.

“Tapi ia menjadi pengajaran untuk saya lebih berhati-hati, terutama dalam soal menulis sesuatu perkara di laman sosial. Selepas ini, saya harus fikir banyak kali sebelum menulis,” katanya yang mengakui cukup rapat dengan peserta lain pada musim ini. 


AKSI Sazzy dan suami dalam Sehati Berdansa sentiasa mendapat perhatian juri.

Dira mengingatkan Sazzy kepada dirinya

KETIKA ini, Sazzy dan suaminya, Nazril Idrus mengakui tekanan sebelum menjelang peringkat akhir semakin menjadi-jadi. Namun, seperti biasa pasangan ini akan terus menikmati peluang yang ada meneruskan perjuangan di dalam program itu dengan sebaik mungkin tanpa terlalu memikirkan apa juga kemungkinan yang bakal berlaku.

Ditanya lagi mengenai Dira, kata Sazzy, dia menganggap si tinggi lampai itu seperti saudaranya sendiri. Hakikatnya, Sazzy sudah lama mengenali Dira iaitu ketika mereka sama-sama terbabit dalam program Beat TV beberapa tahun dulu.

“Saya tidak suka berpura-pura. Kalau tak suka, saya lebih senang berterus terang. Begitu juga dengan pengamatan saya terhadap Dira. Perangainya lebih kurang sama dengan saya. Dia nampak saja macam lemah lembut, tapi dia sebenarnya sangat ‘ganas’.

“Dia boleh menunggang motosikal berkuasa tinggi. Sejujurnya, saya lihat Dira seperti cermin kepada diri sendiri. Dia memang mengingatkan saya. Malah, saya juga gemar mengusiknya di set Sehati Berdansa kerana dia suka melatah,” kata Sazzy yang sedang menanti tayangan filem 4 Madu arahan Prof A Razak Mohaideen.

Bagi Dira, isteri kepada pemain keyboard kumpulan Bau, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid atau Ash ini, dia mengakui perhatian masyarakat terhadapnya juga mula berubah selepas menyertai Sehati Berdansa.

Tidak menafikan dirinya sangat tertekan dan hampir melemahkan semangatnya gara-gara kontroversi itu, Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmah tersendiri, biarpun ia datang tanpa diundang.

“Apabila perhatian itu mula ditujukan kepada saya dan suami, saya sendiri akui agak hilang fokus seketika kerana tidak pernah melaluinya sebelum ini. Penyertaan kami dalam program ini memberi kesan positif dan negatif.

“Saya pun tak sangka dan terkejut boleh kekal lama dalam program ini. Malah, saya pernah berkata kepada Awal Ashaari (pengacara program itu), bahawa paling lama pun kami bertahan hingga minggu ketiga ataupun keempat walaupun kami pernah mendapat undian yang tertinggi,” kata Dira yang reda perjuangannya dan suami sudah ternoktah. 


DIRA dan suami, Ash terpaksa akur tersingkir dari Sehati Berdansa minggu lalu.

Setiap rumah tangga pasti ada pasang surut

TIDAK seperti Sazzy dan Nazril yang bahagia melayari bahtera perkahwinan, rumah tangga Dira dan Ash juga pernah diuji hingga pernah timbul gosip mengatakan mereka tidak tinggal serumah. Ada yang menambah penyertaan mereka dalam program Sehati Berdansa sebagai usaha untuk memulihkan hubungan yang pernah keruh.

“Rumah tangga siapa yang tidak pernah terusik. Lumrah hidup berumah tangga pasti ada pasang surutnya. Sedangkan lidah pernah tergigit. Tapi apa yang terjadi tidaklah sampai mendorong ke arah perceraian.

“Seperti pasangan lain, saya juga mengharapkan perkahwinan kami berkekalan. Kalau tanya sekarang, semestinya saya percaya kami akan terus hidup bersama. 10 tahun ke depan nanti, saya tak mampu menduga.

“Soal masa antara penyebab hubungan kami sedikit renggang apatah lagi kerjaya lakonan. Saya berkahwin ketika masih menuntut di sebuah universiti. Program Sehati Berdansa kembali mendekatkan kami dan selagi mampu kami akan terus berjuang,” katanya.

Courtesy to Berita Harian

No comments:

Post a Comment